
Gionee Melancarkan Telefon Pintar Kelas Pertengahan X1s

Gionee syarikat yang berpengkalan di Guangdong, China baru sahaja memperkenalkan sebuah telefon pintar terbaru iaitu X1s. Peranti kelas pertengahan ini dijual pada harga INR12,999 (sekitar RM848) di pasaran India bermula esok.
Walaupun berada dalam kategori pertengahan, Gionee X1s menerima kerangka bodi yang premium serta dilengkapi dengan paparan 5.2 inci HD 720p. Selain itu, cip pemproses pula menggunakan MediaTek MT6737T, memori RAM sebesar 3GB dan ruang storan seluas 16GB yang boleh ditambah.

Untuk melengkapkan fungsi asas, ia dibekalkan dengan kamera belakang 13 Megapiksel dan kamera depan 16 Megapiksel yang dibantu bersama LED flash. Peranti ini turut dijana oleh bateri berkapasiti 4,000mAh dan Android 7.0 Nougat.
Gionee X1s didatangkan dengan pilihan warna Emas dan Hitam. Ketersediaannya di pasaran Malaysia masih lagi belum diumumkan.

