Inikah Reka Bentuk Google Pixel 2?

Berlaku ketirisan gambar akhir-akhir ini mengenai Google Pixel 2. Melalui Venturebeat, peranti ini memiliki saiz badan yang lebih kecil berbanding abangnya yang dikeluarkan pada tahun lepas. Telefon pintar ini juga tidak memiliki rekaan yang keterlaluan, ia dilihat mempunyai bingkai yang agak tebal di bahagian atas dan di bawah skrin.

Walaupun kebelakangan ini trend skrin hampir tiada bingkai banyak dihasilkan, HTC (Google Pixel 2) tidak mahu mengikut jejak langkah pengeluar lain dengan melakukan perubahan drastik pada reka bentuk. Tambahan, tiada teknologi dwi kamera diletakkan lantas kebolehan penggambaran hitam putih dan mod potret turut diabaikan. Namun begitu, sistem audio telah menerima unit speaker stereo sama seperti kebanyakan peranti keluaran HTC sebelum ini.

Bagaimanapun, Pixel 2 dan Pixel 2 XL (LG) akan dipadankan dengan bingkai sama seperti HTC U 11 dengan fungsi teknologi “Squeeze” tanpa bicu 3.5mm audio jack. Kedua-dua model utama dari Google ini mungkin akan dikuasakan dengan cip Snapdragon 835 dan dilancarkan pada lewat 2017 kemungkinan bulan Oktober kelak.

You might also like