
YouTube Selepas Ini Menyokong Paparan Menegak Dengan Nisbah Yang Berbeza Bersama Ciri VR180
Selepas pengumuman jumlah bilangan pengguna yang log masuk ke YouTube dalam acara Vidcon, YouTube pada masa akan datang juga akan mengemas kini aplikasi mereka dengan sokongan paparan video secara menegak termasuk memperkenalkan format video terbaru yang dipanggil VR180.
Oleh kerana kos yang tinggi dan proses yang kompleks dalam pembikinan video 360 darjah, fungsi VR180 ini akan memudahkan dan menjimatkan pembuat video dalam penghasilan video 180 darjah, serta ia juga menyokong format video 3 dimensi. Malah ciri ini juga akan dimanfaat oleh penonton tanpa perlu membeli peranti VR360 darjah yang jauh lebih mahal.
Jika sebelum ini pengguna YouTube perlu merakam video dalam orentasi landskap untuk mendapatkan paparan penuh, kini ia lebih mesra pengguna. Apa yang menarik tentang paparan menegak ini ialah YouTube menyediakan nisbah skrin 1:1, 4:3 dan 16:9, malah pengguna boleh memilih mengikut keselesaan tidak seperti sebelum ini.
Kemas kini terbaru ini dijangka akan bertemu pengguna dalam beberapa minggu lagi. Maka, selepas ini rakyat Malaysia yang menonton video tular tempatan tidak perlu lagi mencemuh perakam yang merakam secara menegak.

