
WWDC 2017: Ada Apa Pada iOS 11?
Seperti yang diketahui, setiap kali acara WWDC diadakan, perkara pertama yang mungkin kita tertunggu-tunggu ialah iOS terbaru, kali ini Apple mempersembahkan sistem operasi terbaru mereka iaitu iOS 11 yang banyak menerima naik taraf dan akan menemui pengguna tidak lama lagi. Mari kita lihat apakah ciri-ciri yang diperkenalkan.
Antara Muka Pada Control Centre
Semua kawalan kini terletak pada satu halaman sahaja bukan lagi dua seperti sebelum ini. Pengguna boleh menambah dan membuat pilihan kandungan kawalan yang ingin dipaparkan, ini juga memudahkan pengguna kerana fungsi 3D touch juga terdapat pada semua kawalan untuk mengakses kawalan tambahan. Jika peranti dalam keadaan ‘lock’, kini Apple mengembalikan ciri ‘slide to unlock’ yang mana dipadamkan pada iOS 10 sekarang.
Kaedah Lain Menggunakan Siri
Bantuan Siri kini sedia menerima arahan daripada perkataan yang anda taip, ia sesuai digunakan jika anda berada di tempat orang ramai atau dalam keadaan yang bising. Selain itu, Siri juga boleh menterjemahkan bahasa daripada suara anda kepada bahasa lain, sebagai permulaan bahasa yang disediakan adalah Bahasa Inggeris, Cina, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol.
Perubahan Pada App Store
Banyak perubahan telah dilakukan di App Store seperti Permainan dan Aplikasi telah diasingkan kepada dua bahagian. Kandungan aplikasi dan permainan kesukaan editor juga akan dipaparkan kepada anda yang mungkin berminat dengan kehadiran fungsi tab ‘Today’ pada iOS 11 ini.
Gambar Dan Video Kini Mudah Dikongsi
Gambar dan video pada iOS memakan banyak ruang storan, oleh itu Apple telah mencari penyelesaian dengan memperkenalkan format terbaru HEIF menggantikan format JPEG supaya ruang dapat dijimatkan lebih kurang separuh daripada saiz yang digunakan sebelum ini. Di samping itu juga, kualiti rakaman tidak akan berubah termasuk ia juga akan dimampatkan sehingga dua kali bagi memudahkan pemindahan fail tanpa sebarang isu.
Mod Potret juga mendapat naik taraf yang akan menyokong rakaman gambar pada pencahayaan yang rendah juga turut dibantu dengan OIS dan True Tone flash. Manakala pada Live Photo pula, anda kini boleh menyunting imej yang mana untuk dijadikan sebagai imej utama dan ciri memasukkan efek khas pada video juga disediakan.
Had Laju Pada Maps
Apple Maps kini menunjukkan kelajuan pada kenderaan anda dan apa yang menariknya ialah, ia juga turut memaparkan bantuan lorong semasa memandu. Sementara navigasi dalam bangunan pula boleh digunakan di dalam pusat membeli belah serta lapangan terbang yang hanya terdapat di bandar-bandar besar di Amerika syarikat, London, Hong Kong dan Tokyo buat masa ini.
AR Kit Untuk Permainan dan Aplikasi
Apple juga tidak mahu ketinggalan pada tahun 2017 ini dengan menampilkan ciri AR Kit bagi memudahkan para pembangun untuk mencipta kandungan AR dalam permainan dan aplikasi untuk platfom iOS pada masa akan datang.
Berkongsi Lagu Di Apple Music
Kongsikan lagu kesukaan anda bersama rakan-rakan di mana anda perlu berkongsi maklumat supaya rakan anda dapat mengetahui lagu kegemaran yang sedang anda dengar.
Lebih Mudah dengan QuickType
Ini bukan ciri baru pada telefon pintar malah ia telah wujud terlebih dahulu di platfom Android. Oleh itu, Apple juga ingin memberi kemudahan kepada penggunanya dengan mewujudkan QuickType, di mana pengguna hanya perlu menekan butang pada emoji untuk memilih ciri menaip yang boleh digunakan sebelah tangan sahaja.
Apple bukan memperkenalkan ciri-ciri ini sahaja malah banyak lagi ciri-ciri lain yang terdapat pada iOS 11 ini. Apa yang perlu anda tahu ialah kemas kini iOS 11 ini menggunakan format 64-bit dan tidak akan menyokong peranti model iPhone 5s ke bawah. Kita akan merungkai lagi ciri-ciri lain pada masa pelancarannya kelak bersama-sama iPhone 8 pada bulan September nanti.
Anda berminat:


