Wiko Upulse, Harry dan Kenny Dibawa Masuk Ke Pasaran Malaysia – Telefon Pintar Dari Perancis

Tidak semua daripada kita mampu membelanjakan wang untuk membeli telefon pintar bernilai ribuan ringgit, apatah lagi dengan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini. Oleh itu, Wiko jenama dari Perancis telah memperkenalkan barisan peranti baru dengan harga yang mampu dimiliki.

Wiko Harry, mungkin anda salah seorang yang sudah memilikinya kerana model ini sudah dibawa masuk ke pasaran Malaysia lebih awal daripada acara pelancaran ini. Didatangkan dengan paparan 5 inci IPS 1280 x 720p bersama kerangka aluminium di bahagian luar, manakala dalamannya pula hadir dengan pemproses empat teras 1.3GHz, RAM 3GB serta storan sebanyak 16GB. Selain kamera utama 13 Megapiksel dan kamera depan 5 Megapiksel, bateri dimuatkan dengan kapasiti 2,500mAh dan disediakan storan tambahan sehingga 128GB.

Sementara, peranti 4G Wiko Kenny pula mendapat perkakasan dalaman seperti pemproses empat teras 1.1GHz, RAM 2GB dan storan sebanyak 16GB. Ia menggunakan paparan bersaiz 5 inci dengan resolusi 854 x 480 dengan kerangka yang boleh dibuka, penggambaran pula menerima lensa 8 Megapiksel pada kamera utama dan kamera depan pula lensa 5 Megapiksel.

Kapasiti bateri mendapat sebanyak 2,500mAh, disertakan slot kad memori tambahan yang menyokong sehingga 128GB.

Model terakhir yang dipersembahkan ini pula memiliki spesifikasi lebih tinggi berbanding dua model Harry dan Kenny. Wiko Upulse didatangkan dengan paparan 5.5 inci HD penuh 1280 x 720p, serta kamera belakang 13 Megapiksel bersama fungsi Super Pixel dan depan 8 Megapiksel menawarkan mod HDR.

Set cip menggunakan empat teras 1.3GHz, RAM 3GB dan ruangan storan sebesar 32GB juga menyokong slot kad tambahan sehingga 128GB. Sistem keselamatan tidak dilupakan, maka Wiko Upulse juga menyediakan pengimbas cap jari dan menyokong rangkaian 4G LTE.

Kesemua model ini dioperasikan oleh Android 7.0 Nougat dan sokongan dua slot SIM. Dua model Wiko Kenny dan Wiko Upulse akan dibawa masuk ke pasaran tempatan selepas Hari Raya ini pada harga RM499 dan RM799, manakala Wiko Harry pada harga RM599.

You might also like