
OPPO R11 Plus Diperkenalkan Secara Rasmi Dengan Paparan 6” AMOLED, Bateri 4,000mAh
Sebelum ini, OPPO telah mendedahkan ciri-ciri yang terdapat pada peranti terbaru mereka, akhirnya ia berakhir dengan kemunculan dua model berbeza yang dikenali sebagai OPPO R11 dan OPPO R11 Plus yang dibekalkan dengan kuasa bateri 3,000mAh dan 4,000mAh. Kedua-dua model ini dilengkapi dengan pengecasan pantas VOOC serta paparan bersaiz 5.5 inci dan 6 inci HD penuh jenis AMOLED.
OPPO R11 dan R11 Plus turut disediakan dengan dwi kamera menggunakan sensor Sony IMX398 dan IMX350 iaitu 16 Megapiksel f/1.7 aperture bersama fungsi telefoto dan bokeh, manakala bahagian depan pula diletakkan kamera 20 Megapiksel f/2.0 mampu merakam gambar swafoto yang lebih terperinci. Video rakaman menyokong sehingga kualiti 4K di bahagian depan mahupun di belakang.
Ciri luaran pula, menggunakan kerangka badan jenis logam dengan berat 188g dan ketebalan hanya 7.8mm. Walau bagaimanapun, OPPO masih belum mengumumkan tarikh pelancaran dan harga bagi kedua-dua peranti ini.