Meizu E2 Dilancarkan Dengan Quad LED Flash Serta Teknologi Pengecas Pantas mCharge

Bersempena dengan majlis pelancaran yang diadakan di China, Meizu telah melancarkan peranti terbarunya yang dikenali sebagai Meizu E2 yang menawarkan fungsi pengecasan pantas serta sensor pengimbas cap jari yang ditempatkan pada butang Home. Dua varian telah diperkenalkan iaitu 32GB ROM + 3GB RAM dan juga 64GB ROM + 4GB RAM, yang mana kedua-dua model ini akan dijual pada harga CNY1,299 (kira-kira RM818) dan CNY1,599 (kira-kira RM1,007).

Dilengkapi dengan cip pemproses MediaTek Helio P20 dengan kelajuan sehingga 2.35GHz bersama cip grafik ARM Mali-T880, ia juga telah dioperasikan oleh Flyme OS 6.0 berasaskan Android 6.0 Marshmallow.

Manakala ciri-ciri lain Meizu E2 pula menampilkan kerangka unibodi yang diperbuat daripada logam, paparan skrin 2.5D berukuran 5.5 inci 1920×1080 piksel, kamera utama 13 Megapiksel dengan PDAF serta Quad LED flash, kamera depan 8 Megapiksel. Malah sokongan bateri berkapasiti 3400 mAh dengan fungsi pengecasan pantas mCharge yang disokong juga dikatakan mampu mengecas sehingga 40 peratus dalam masa 30 minit.

Selain itu, kedua-dua varian ini juga turut disediakan dengan slot kad microSD dengaon sokongan kapasiti sehingga 128GB, rangkaian 4G LTE, WiFi, GPS, Bluetooth v4.1 dan juga port microUSB. Meizu E2 telah dilancarkan dalam warna Merah Jambu, Hitam dan Perak.

You might also like