
Acara Istimewa Pokemon Go Sempena Halloween
Niantic telah mendedahkan satu acara istimewa permainan Pokemon Go bersempena sambutan Halloween.
Permainan Pokemon Go telah mencatatkan rekod luar biasa semenjak ia dilancarkan, dengan menjadi permainan yang paling banyak dimuat turun, pengguna harian tertinggi dan jumlah keuntungan yang luar biasa. Walaupun begitu, kehangatan permainan ini semakin menyurut gara-gara pihak pembangun yang lambat menambah fungsi dan isi baru buat permainan tersebut. Rata-rata pemain berhenti bermain selepas beberapa tempoh kerana bosan dengan isi kandungan permainan yang kekal sama tanpa tambahan atau ubah suai major.
Dalam usaha mereka memulihkan keadaan tersebut Niantic nampaknya akan mengadakan acara istimewa pada sambutan Halloween tahun ini. Beberapa Pokemon seperti Drowzee, Ghastly, Haunter, Gengar dan lain-lain akan muncul lebih kerap di dalam peta permainan sepanjang 26 Oktober sehingga 1 November 2016. Selain itu ganjaran Candy juga akan dinaikkan bagi Pokemon-Pokemon tersebut.
Sementara menunggu acara ini, apa kata kita tonton dahulu video promosi!