
Ketirisan Gambar ‘Rendering’ Huawei Mate 9 Mula Kelihatan
Sebagaimana yang diketahui sebelum ini, Huawei dijangka akan mula mendedahkan phablet terbaru keluarannya iaitu model Mate 9 untuk tatapan umum di dalam acara tahunan IFA pada 1 September nanti. Sungguhpun begitu, model pengganti Mate 8 yang diperkenalkan pada tahun lepas ini nampaknya telah menerima nasib yang sama sebagaimana kebanyakan peranti popular yang lain apabila imej fizikalnya mula tersebar sebelum sempat didedahkan secara rasmi.
Baru-baru ini satu koleksi gambar ketirisan gambar rendering yang dikatakan milik Huawei Mate 9 sudah mula berlegar di Internet. Walaupun ia hanya setakar gambar rendering, jelas dapat dilihat bahawa phablet terbaru Huawei ini bakal meneruskan populariti penggunaan dwi lensa sebagaimana siri Huawei P9. Sungguhpun begitu, masih belum dapat dipastikan sama ada ia akan turut menerima sentuhan kamera daripada Leica ataupun tidak buat masa ini.
Berdasarkan kepada sumber yang diperolehi setakat ini, Huawei Mate 9 bakal menyokong paparan skrin berukuran 5.9 inci beresolusi 1080p, dikuasakan dengan pemproses terbaru HiSilicon Kirin 960, hadir dengan memori dalaman sebesar 64GB serta RAM berkapasiti 4GB, kamera depan 8 Megapiksel dan juga dioperasikan dengan Android 7.0 Nougat. Jadi benar atau tidak dakwaan ini, sama-sama kita nantikan kemunculan rasminya tidak lama lagi dalam pameran IFA 2016 di Berlin nanti.

