
CES 2018 : Vivo Perkenalkan Pengimbas Cap Jari Pada Skrin Pertama Di Dunia
Vivo hari ini di acara terkemuka CES 2018 mengumumkan jenama vivo telah menjadi yang pertama di dunia menghasilkan pengimbas cap jari pada skrin untuk telefon pintar. Pengumuman istimewa ini sama sekali telah menarik perhatian penonton di seluruh dunia apatah lagi penawaran ini juga sekaligus dapat memberikan para pengguna vivo merasai pengalaman mudah alih di tahap yang lebih tinggi.
Teknologi imbasan jari pada skrin lantas telah membawa era telefon pintar ke arah yang lebih maju berbanding kaedah tradisional iaitu menggunakan pengimbas biometrik. Selain itu, teknologi terbaru ini juga dapat memberikan pengguna akses yang lebih cepat dan mudah hanya meletakkan jari pada skrin.

Berdasarkan statistik Canalys, dijangka menjelang tahun 2020 sebanyak 50% telefon pintar di seluruh dunia akan menggunakan skrin penuh. Jadi, dengan teknologi vivo bawakan ini ia akan menjadi satu trend yang akan digunakan pada masa akan datang.
Vivo mengatakan menerapan teknologi ini amat mudah untuk digunakan. Pengguna hanya perlu meletakkan jari pada paparan apabila antaramuka menunjukkan ikon pada bahagian skrin. Kaedah ini juga boleh digunakan untuk pembayaran mudah alih dengan lebih selamat dan cepat. Jika telefon tidak memerlukan cap jari, keseluruhan skrin tidak akan menyala.
Kerjasama diantara vivo dan Synaptics untuk menghasilkan teknologi ini dilihat berjaya. Kini pengeluaran secara besar-besaran sedang dilakukan oleh pihak industri. Buat masa ini, vivo belum mengesahkan peranti yang akan menerima teknologi ini, tetapi dijangka pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.

