CES 2018 : Acer Perkenalkan Paparan Permainan Predator 65” 4K HDR

Acer tidak ketinggalan untuk memperkenalkan kepada umum monitor permainan gergasi di acara CES 2018 yang sedang berlangsung di Las Vegas. Jika sebelum ini mereka tampilkan siri terbaru laptop Swift 7, Spin 3, dan Nitro 5. Kali ini tiba giliran paparan permainan pula dengan kehadiran Acer Predator Big Format Gaming Display yang bersaiz 65-inci.

Ianya sebuah monitor khusus bagi mereka yang gemarkan permainan video secara menyeluruh dan lebih gempak. Digerakkan bersama teknologi NVIDIA G-SYNC, kadar segar-semula sehingga 120Hz kini lebih lancar sangat sesuai untuk memainkan permainan secara atas talian dan dikatakan mampu memadankan kandungan yang ditonton mengikut kadar segar-semula yang telah ditetapkan.

Menerusi paparan 4K HDR, skrin ini menjanjikan keterangan mencecah 1,000nits dengan kontra yang lebih jitu dan warna hitam yang lebih gelap. Ciri NVIDIA SHIELD pula membolehkan pemain menukar saluran daripada permainan kepada kandungan hiburan dengan mudah.

Acer Predator Big Format Gaming Display didatangkan dengan sebuah alat kawalan untuk pengguna mengawalnya hanya melalui arahan suara meggunakan sokongan Google Assistant.

Setakat ini, pihak Acer tidak mengulas lanjut berkenaan produk tetapi ia dijangka akan bertemu pengguna tidak lama lagi.

You might also like