
Aplikasi Chrome Versi 52 Untuk Android Menawarkan Masa Capaian Lebih Pantas Dan Menjimatkan Bateri
Sokongan kapasiti bateri yang besar sahaja tidak memadai sekiranya aplikasi yang digunakan menjadi penyebab penggunaan bateri yang sangat besar. Antara penyumbang terbesar yang menyebabkan bateri peranti digunakan dengan banyak adalah ketika memainkan video di dalam pelayar web. Menyedari akan kepentingan tersebut, Google nampaknya telah memperkenalkan kemas kini terbaru aplikasi Chrome untuk peranti Android dengan kehadiran versi 52 yang menjanjikan penambahbaikan yang terbaik setakat ini.
Dengan Chrome 52, proses memainkan semula video bukan sahaja menjanjikan pengalaman yang lebih lancar, tetapi masa capaian juga akan menjadi lebih pantas dan dalam masa yang sama mengurangkan penggunaan bateri peranti Android. Langkah ini telah diambil oleh Google apabila lebih daripada 1 bilion jam video web telah dimainkan di aplikasi Chrome pada setiap minggu, sama ada melalui Amazon, Facebook, The New York Times, Netflix dan juga YouTube.
Tidak cukup dengan itu, video juga kini turut disokong dalam Mod Penjimatan Data yang mampu menjimatkan sehingga 50% data dengan memaparkan video dalam versi yang lebih ringkas. Menurut Google, penambahbaikan ini akan dapat dilihat dengan jelas pada klip video yang pendek yang banyak diselitkan pada laman sesawang.
Muat turun Fail APK

