Samsung Galaxy J Max, Sokong Paparan Skrin Sebesar 7.0 Inci
Samsung telah memperkenalkan dua model terbarunya pada minggu ini, salah satunya adalah Galaxy J Max. Keistimewaan pada peranti ini adalah ia tampil dengan paparan skrin sebesar 7.0 inci, dan masih dikategorikan oleh Samsung sebagai sebuah phablet.
Seperti keluarga Galaxy J 2016 yang lain, ia turut menyokong fungsi rangkaian LTE dan panggilan melalui VoLTE, salah satu teknologi baru yang diperkenalkan di Malaysia dalam menawarkan panggilan suara yang jelas dan terang.
Galaxy J Max dikuasakan oleh pemproses Quad Core berkelajuan 1.5GHz, ia diserikan dengan memori RAM 1.5GB dan memori dalaman berkapasiti 16GB. Galaxy J Max turut menyokong kamera belakang 8 Megapiksel dan kamera hadapan 2 Megapiksel, berbeza dengan tablet di mana kamera utama dan depan hadir bersama lampu LED flash.
Dengan paparan skrin yang besar, ia turut menyertakan bateri Li-Ion berkapasiti 4000mAh, serta dioperasikan oleh Android 5.1 Lollipop dengan antaramuka TouchWiz. Samsung Galaxy J Max bakal dijual pada bulan Julai 2016 di India dengan harga 13,400 Rupee (kira-kira RM795).