

Samsung Malaysia Electronics telah melancarkan Siri Galaxy J edisi 2016 dengan kehadiran tiga model terbarunya iaiu Galaxy J (2016), Galaxy J5 (2016) dan juga Galaxy J7 (2016). Siri yang disasarkan untuk pasaran entry-level ini bersesuaian dengan pengguna yang sentiasa aktif terhubung kerana ia telah didatangkan dengan mod baru iaitu Ultra Data Saving (UDS) yang berupaya memastikan penggunaan data yang lebih efisien dan mengehadkan pengoperasian aplikasi tanpa disedari bagi menjimatkan data.
Ketiga-tiga model terbaru siri Galaxy J ini hadir dengan sokongan dua slot kad SIM dan sambungan rangkaian 4G LTE boleh dibuat pada salah satu slot yang diingini. Lebih istimewanya, Samsung turut menawarkan pakej pembelian dengan pek prabayar YES 4G bagi membolehkan pengguna menikmati sambungan Internet terbaik melalui penyediaan 30GB data selama 2 bulan secara percuma. Pek prabayar YES 4G ini juga turut menyokong panggilan serta SMS tanpa had untuk rangkaian yang sama, 200 minit panggilan serta SMS ke rangkaian lain untuk tempoh 2 bulan, dan juga tempoh sah laku sehingga 60 hari.
Samsung Galaxy J1, J5 dan J7 (2016) akan mula dijual mulai 16 Jun 2016 di semua Samsung Experience Stores dan juga pengedar rasmi yang sah di seluruh negara pada harga masing-masing RM449, RM849 dan RM1,049. Ketiga-tiga model ini tersedia dalam tiga warna pilihan iaitu Putih, Hitam dan Emas.