
Memperlihatkan Kemunculan Peranti Terbaru Siri ZenFone: ASUS ZenFone 3 Laser & ZenFone 3 Max
Pameran Computex 2016 pada bulan Jun 2016 telah mencuri perhatian ramai dengan memperkenalkan keluarga dari siri ZenFone 3 yang hadir dengan tiga variasi baru iaitu ZenFone 3 Deluxe, ZenFone 3 dan juga ZenFone 3 Ultra. Hari ini, ASUS menambah dua lagi model di bawah siri yang sama diberi nama ZenFone 3 Laser dan juga ZenFone 3 Max.
ASUS ZenFone 3 Laser memfokuskan kepada keupayaan penggambaran pantas bagi membolehkan pengguna mengambil gambar tanpa terlepas sebarang detik-detik penting. Dari segi spesifikasi, ZenFone 3 Laser menawarkan skrin berukuran 5.5 inci, rekaan kerangka berasaskan logam dengan penggunaan kaca 2.5D, lensa utama 13 Megapikel dengan sokongan auto fokus sepantas 0.03 saat, memori RAM 4GB dan memori dalaman berkapasiti 32GB.
ASUS ZenFone 3 Max pula memfokuskan kepada penawaran bateri bersaiz besar bagi membolehkan pengguna menggunakannya untuk tempoh masa yang lama. Tampil dengan paparan skrin lebih kecil iaitu berukuran 5.2 inci, ia turut menyokong memori RAM sebesar 3GB dan memori dalaman 32GB. Peranti ini hadir dengan bateri Li-Ion berkapasiti 4100mAh yang boleh mengecas peranti lain sebagai powerbank.
Lebih menarik, kedua-dua smartphone ini turut menyediakan sokongan pengimbas cap jari yang terletak di bahagian belakang smartphone.
Buat masa sekarang, ASUS hanya memperkenalkannya secara rasmi di Vietnam dengan harga VND 5,990,000 (kira-kira RM 1,059) untuk ZenFone 3 Laser, dan VND 4,490,000 (kira-kira RM 794) bagi model ZenFone 3 Max.