
Baru-baru ini kita didedahkan dengan ketirisan info mengenai peranti terbaru keluaran Samsung iaitu Samsung Galaxy A7 (2018). Walaupun belum dilancarkan secara rasmi di pasaran tempatan namun Samsung nampaknya telah mengumumkan peranti tersebut di laman sesawang rasminya.
Apa yang menariknya, pihak Samsung memaklumkan Samsung Galaxy A7 hadir dengan tiga kamera utama (sistem tri-kamera) di samping pengimbas cap jari pada bahagian sisi peranti. Ia dilengkapi dengan skrin sebesar 6-inci Super AMOLED beresolusi 2220 x 1080 piksel tanpa takuk.
Beralih pada bahagian teknikal, Samsung Galaxy A7 dijana pemproses lapan-teras 2.2GHz bersama tiga konfigurasi memori antaranya 4GB/64GB, 4GB/128GB, dan 6GB/128GB dan disokong oleh bateri berkapasiti 3300 mAh di dalamnya.
Dari segi rakaman gambar, sistem tri-kamera utama adalah kombinasi sensor 24-Megapixel f/1.7, 8-Megapixel f/2.4 lensa ultra lebar dan sensor kedalaman 5-Megapixel. Selain itu, melengkapkannya adalah kamera depan sebesar 24-Megapixel f/2.0 dengan sokongan flash.
Peranti ini masih lagi mempunyai bicu audio 3.5 mm selain sokongan audio Dolby ATMOS, NFC dan bluetooth 5.0. Samsung Galaxy A7 akan hadir dengan variasi 4 warna iaitu hitam, biru, tembaga, dan merah jambu. Pun begitu, tiada maklumat mengenai harga jualan diumumkan buat masa ini.