
LeEco Umum Pemilikan Vizio Pada Nilai USD2 Bilion

Jenama LeEco mungkin agak asing di kalangan pengguna di negara ini, tetapi di pasaran luar terutamanya di China ia merupakan salah satu pengeluar telefon pintar yang sering mendapat perhatian. Ini kerana LeEco sememangnya terkenal sebagai salah sebuah pengeluar yang menawarkan sebuah peranti berspesifikasi tinggi pada harga mampu milik.
Kesungguhan LeEco dalam percubaannya untuk menakluki lebih banyak pasaran global nampaknya bakal direalisasikan apabila baru-baru ini pengeluar dari China itu telah berjaya memperolehi Vizio pada harga belian mencecah sehingga USD2 bilion atau kira-kira RM8.11 bilion. Pemilikan pembuat TV popular dari Amerika itu sekaligus memastikan asas yang lebih kukuh untuk LeEco memasuki pasaran TV di Amerika Syarikat, memandangkan Vizio merupakan antara jenama utama di negara itu.
Walaupun LeEco telah memperolehi pembuat TV itu, Vizio akan dioperasikan secara berasingan dan merupakan anak syarikat milik penuh LeEco. Untuk pengetahuan pembaca juga, jenama LeEco sebenarnya tidak begitu popular di kalangan pengguna di Amerika Syarikat memandangkan tiada telefon pintar jenama itu dibawa masuk ke pasaran di sana sebelum ini. Jadi dengan pemilikan Vizio ini mungkin sedikit sebanyak membantu LeEco untuk bertapak dengan lebih mudah di pasaran Amerika Syarikat.

