
Twitter Kini Menyokong ‘Mod Malam’ Secara Rasmi Untuk Semua Peranti Android
Setelah bertahun lamanya pengguna berharap agar Twitter memperkenalkan fungsi ‘Mod Malam’ pada aplikasi tersebut, nampaknya bulan Julai 2016 ini telah menyaksikan kemunculan rasmi fungsi tersebut selepas sebulan ketirisan tentang maklumat itu tersebar di Internet. 
Sokongan ‘Mod Malam’ pada aplikasi sosial popular untuk peranti Android ini sememangnya sangat dinanti-nantikan oleh pengguna bagi membantu mereka menggunakannya dengan lebih selesa apabila berada dalam persekitaran gelap. Bahkan mod sebegini sememangnya sangat efisien untuk peranti yang menggunakan paparan jenis AMOLED atau Super AMOLED dalam memastikan penjimatan bateri yang lebih baik.
Cara pengaktifan fungsi ‘Mod Malam’ ini sememangnya mudah kerana ia boleh terus diakses melalui tetingkap menu khas iaitu ‘Night mode’ yang boleh dilihat pada bahagian kiri paparan skrin. Sebaik sahaja mod ini diaktifkan, aplikasi Twitter akan diubah secara keseluruhannya ke warna biru gelap bagi menggantikan paparan berwarna putih sebelum ini.

