
HTC baru sahaja memperkenalkan HTC One X9 dan HTC 10, kini muncul pula ahli baru dalam siri “Desire” mereka iaitu Desire 830 dual sim. Ciri-ciri yang ditonjolkan pada smartphone ini hampir sama dengan HTC Desire 628 dual sim yang telah dijual pada bulan yang lalu.
Salah satu kelebihan yang terdapat pada peranti ini adalah kehadiran speaker stereo dengan teknologi BoomSound pada bahagian atas dan bawah paparan skrin, yang merupakan satu penambahbaikkan berbanding Desire 820s dual sim.
Skrinnya tampil dengan teknologi Super LCD beresolusi HD penuh dengan ukuran 5.5 inci. Dioperasikan oleh Android 6.0 Marshmallow, ia turut dikuasakan bersama pemproses 64-bit, Octa Core berkelajuan 1.5GHz dengan RAM sebesar 3GB.
Memori dalaman yang disediakan pula adalah sebesar 32GB dan sokongan kad memori tambahan microSD sebesar 2TB. Untuk fungsi multimedia, Desire 830 dual sim mempertaruhkan lensa utama 13 megapiksel dengan teknologi OIS serta kamera selfie beresolusi 4 Megapiksel dengan teknologi UltraPixel.
Kehadiran bateri berkapasiti 2800mAh dengan fungsi pengecasan pantas juga merupakan satu kelebihan buat model ini. Hadir dengan empat pilihan warna menawan, Desire 830 dual sim dijual pada harga RM 1,099.