
Demonstrasi Fungsi Pengimbas Iris Pada Samsung Galaxy Note 7 Mula Kelihatan
Sebagaimana yang kita ketahui, salah satu fungsi yang paling ditunggu-tunggu pada Samsung Galaxy Note 7 sudah tentunya fungsi pengimbas iris (mata) yang akan merevolusikan trend penggunaan pengimbas cap jari yang popular pada masa ini. Baru-baru ini, sebuah klip video pendek telah mula tersebar di Internet yang memperlihatkan demonstrasi bagaimana fungsi pengimbas iris pada Samsung Galaxy Note 7 dijalankan.
Berdasarkan kepada demonstrasi yang berdurasi hanya 7 saat itu, jelas dapat dilihat bahawa fungsi pengimbas iris ini mampu menjalankan tugasnya dengan sangat pantas bagi membolehkan pengguna mengakses peranti dengan lebih selamat. Selain daripada klip video itu, beberapa imej berhubung cara menggunakan fungsi pengimbas iris itu juga telah dikongsikan.
Menurut arahan yang dipaparkan dalam bahasa Cina itu, Samsung telah mencadangkan supaya pengguna tidak menggunakan cermin mata ataupun kanta lekap bagi memastikan proses pengecaman mampu berjalan dengan lancar. Selain itu, Samsung juga turut menyatakan bahawa pengimbas iris ini mampu beroperasi dengan baik pada jarak antara 25 hingga 35cm. Merujuk kepada imej yang tertiris itu lagi, Samsung Galaxy Note 7 juga telah disahkan menyokong RAM berkapasiti 4GB.

