
Nantikan Kemunculan Aplikasi WhatsApp Versi Desktop
WhatsApp tidak lama lagi mungkin akan mengakhiri permintaan yang dibuat ramai pengguna, iaitu menggunakan WhatsApp melalui aplikasi desktop. Ketika ini hanya ada dua cara untuk anda menggunakan WhatsApp pada PC iaitu melalui WhatsApp Web dan aplikasi pihak ketiga. Namun kedua-dua alternatif tersebut tidak menawarkan fungsi menyeluruh, membuatkan pengguna meminta WhatsApp menghasilkan aplikasi desktop yang rasmi.
Menurut beberapa sumber, WhatsApp sedang berusaha dalam membina aplikasi tersebut yang menawarkan fungsi yang pengguna gemari pada aplikasi versi mobil. Sekiranya WhatsApp benar-benar hadir dengan aplikasi desktop, pastinya ia akan memberikan persaingan aplikasi mesej lain seperti Skype. Sebelum ini WhatsApp berkeras tidak mahu menghasilkan aplikasi versi desktop atas isu keselamatan.