
Dua pelajar daripada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu telah mengharumkan nama negara di Switzerland apabila meraih pingat emas di International Exhibition of Invention for Geneva 2016. Ahmad Asyraf Aqil Ariffin dan Ahmad Luqmanul Hakim Ahmad Tarmizi, pelajar tingkatan lima telah menewaskan lebih 1,000 inovasi peserta lain dengan ciptaan power bank yang kuasanya dijana melalui air garam dan diberi nama Power Bank: Exieco PB.
Idea mencipta power bank ini tercetus daripada pengalaman sering berdepan masalah bekalan elektrik ketika rumahnya dilanda banjir. Ahmad Ashraf Aqil yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan kemudiannya membentuk pasukan bersama sahabatnya bagi membangunkan produk mesra alam itu. Selain mampu menghasilkan tenaga sehingga 6.5 volt, rekaan untuk pengecasan smartphone juga ringan, mesra alam dan mesra pengguna.
Apabila ditanya tentang masa hadapan Power Bank: Exieco PB, pasukan itu menyatakan sedang memohon kelulusan daripada pihak SIRIM, bagi tujuan memasarkan inovasi tersebut di bawah pihak MARA. The International Exhibition of Invention adalah satu acara pameran inovasi terbesar di dunia. Pada acara edisi ke-44 tahun ini, seramai 695 pempamer dari 40 negara berhimpun untuk mempamerkan hasil rekaan yang mereka bangunkan.

