
Akaun Spotify Digodam!
Nampaknya servis streaming muzik Spotify sudah mula diserang para penggodam yang mengambil data peribadi pengguna dan memuat naik info sensitif tersebut di dalam laman web. Beberapa orang pengguna tampil menceritakan bagaimana mereka menyedari akaun mereka diceroboh.
Salah seorang pengguna menerima gangguan log masuk ketika cuba mengakses Spotify dan diberitahu bahawa akaunnya sudah didaftarkan menggunakan email yang baru. Beliau terpaksa berurusan dengan unit khidmat pelanggan Spotify untuk menyelesaikan perkara tersebut. Ada juga pengguna yang menyedari akaun mereka diceroboh apabila melihat senarai lagu yang mereka tidak kenali muncul di dalam playlist mereka.
Spotify bagaimanapun menafikan bahawa informasi tersebut dicuri daripada sistem mereka dan kini sedang menyiasat bagaimana informasi pelanggan mereka boleh jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

