
Sebelum ini Xiaomi telah membuka kedai induk Mi Store di tiga tempat berbeza iaitu Queensbay Mall, Suria KLCC, Sunway Pyramid dan terbaru di Pavillion, Kuala Lumpur pada 10 November yang lepas. Kedai ini dibuka kepada peminat dan pengguna Xiaomi mendapatkan pelbagai peranti pintar seperti telefon, komputer riba, jam kecergasan, dron, televisyen, speaker, beg, dron, skuter serta beberapa aksesori lain dengan mudah.
Terletak di tingkat 1, bilik pameran Mi store ini sedia menjual produk baru dan sudah pasti ianya bukan set AP tetapi set tulen daripada Xiaomi Malaysia. Dalam masa yang sama, kedai ini juga turut mempamerkan dua telefon pintar terbaharu dari Xiaomi iaitu Mi 8 Pro dan Mi 8 Lite.
Xiaomi Mi 8 Pro menampilkan paparan skrin 6.21 inci AMOLED, dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 845 dengan sokongan 8GB RAM dan 128GB ROM. Bagi segmen penggambaran, ia dibekalkan dwi-kamera utama beresolusi 12MP + 12MP AI, kamera depan 20MP serta bateri berkapasiti 3000mAh dengan sokongan pengecasan pantas.

Bagi model Mi 8 Lite pula, ia hadir dengan paparan skrin 6.26 inci LCD yang dijana dengan cip pemproses Snapdragon 660. Walaupun sebagai peranti pertengahan, sokongan 6GB RAM dan 128GB ROM tetap disediakan pada Mi 8 Lite, selain dwi-kamera utama 12MP + 5MP AI serta 24MP kamera hadapan turut disediakan khas untuk kaki swafoto.
Peminat Xiaomi boleh mendapatkan semua produk kegemaran secara rasmi di kedai-kedai Mi Store yang berdekatan anda, serta melalui laman rasmi Xiaomi dan rakan kongsi e-dagang.


