
Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) telah melaporkan bahawa pendaftaran palsu kad SIM prabayar semakin meningkat. Menurut statistik yang dikeluarkan, purata sebanyak 67 aduan diterima berkaitan pendaftaran palsu kad SIM prabayar yang dicatatkan daripada 2011 hingga 2015. Tahun 2013 mencatatkan aduan tertinggi dengan 110 aduan manakala 2011 mencatatkan aduan paling rendah dengan 27. Tahun ini sehingga Februari sahaja sebanyak 14 aduan dicatatkan dan ia hampir 50% daripada aduan sepanjang 12 bulan 2011 sangat menggusarkan pihak CFM.
Mereka juga menasihatkan semua pengguna agar mengambil langkah sepatutnya untuk mengelakkan maklumat peribadi mereka digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Berdasarkan Garis Panduan Pendaftaran Pengguna bagi Perkhidmatan Prabayar Selular Awam oleh MCMC, pengguna tidak perlu menyediakan salinan MyKad semasa membuat pendaftaran kad SIM sebaliknya penyedia perkhidmatan atau wakil jualan hanya perlu membuat pengesahan maklumat diri pengguna sahaja.
Oleh itu, kad SIM prabayar masa ini terlalu mudah diperoleh, terdapat ejen dan pengedar jualan yang mengambil kesempatan dengan menggunakan maklumat peribadi pengguna lain untuk membuat pendaftaran akaun palsu terutamanya buat warga asing.
Pada tahun 2015, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah megeluarkan sebanyak 50 kompuan berjumlah RM 2.29 juta kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran palsu kad SIM prabayar. Walaupun begitu, pihak pengguna perlu lebih peka dengan isu ini dan mengadu pada penyedia perkhidmatan masing-masing sekiranya menyedari maklumat mereka telah disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
- Laman rasmi CFM: www.cfm.my
- Aduan CFM melalui : www.complaint.cfm.org.my atau emel ke aduan@cfm.org.my
- Talian Bebas Tol: 1-800-18-2222

