
[Tertiris] Samsung Bakal Lancarkan Pengecas Tanpa Wayar Untuk Galaxy S9
Samsung tidak lama lagi akan mengumumkan peranti flagship terbaru mereka Galaxy S9. Selain daripada itu, syarikat Korea Selatan ini juga bakal memperkenalkan aksesori tambahan seperti pengecas tanpa wayar versi yang dinaik taraf. Melalui gambar manual yang tertiris, dok tersebut akan hadir dengan dua gegelung tembaga yang menyokong teknologi pengecasan pantas sehingga 12V / 2.1A.

Perubahan lain yang dilakukan ialah terdapat sambungan bicu USB-C di bahagian belakang berbanding microUSB pada model yang terdahulu. Samsung juga dikatakan memasukkan kipas mini di sebelah belakang pendiri untuk mengurangkan haba semas proses pengecasan dibuat. Selain itu, Indikator LED yang dipadankan berfungsi untuk memberitahu sama ada dok sedang mengecas (merah), bersedia (hijau), atau tidak berfungsi (lampu berkelip) di bahagian depan.

Dalam masa sama, sarung pelindung untuk Galaxy S9 juga tertiris. Kali ini lebih jelas dengan sarung berasaskan kulit (alcantara) dan fabrik (hyperknit) disamping potongan untuk sistem dwi kamera. Terdapat juga sarung yang dihasilkan menawarkan ciri tahan lasak gred tentera MIL-STD-810G.


