
[Tertiris] Rekaan Sharp Aquos S3 Hadir Dengan Ruang Dagu Lebih Nipis
Sementara penjualan Sharp Aquos S2 baru memasuki pasaran Malaysia pada 6 Januari yang lalu, kini terdapat pula gambar yang tersebar menunjukkan rekaan Sharp Aquos S3. Pada masa sama, Sharp juga telah mengesahkan 16 Januari ini sebagai tarikh pengumuman peranti tersebut.

Sharp Aquos S3 dikatakan akan hadir dengan paparan 18:9 bersaiz 5.99-inci beresolusi HD penuh+. Sharp juga menawarkan peranti ini dengan dua varian berbeza iaitu satu dengan cip Snapdragon 630, RAM 4GB, dan 64GB storan manakala satu lagi dengan cip Snapdragon 660, RAM 6GB, dan 128GB storan.
Di bahagian belakang masih mengekalkan posisi kamera seperti model sebelumnya. Terdapat dwi kamera menempatkan sensor 12 MP + 13 MP di samping kamera depan 16 Megapiksel. Sharp Aquos S3 dimuatkan dengan bateri 3,200mAh serta dioperasikan melalui Android 8.0 Oreo terus dari kotak.

Tidak ketinggalan, Sharp turut akan mengeluarkan peranti ini dalam versi Mini. Ia didatangkan bersama skrin bersaiz 5.48-inci dengan resolusi 2040 x 1080p dan kamera depan 20 Megapiksel. Sebaliknya, hanya satu kamera ditawarkan di bahagian belakang iaitu menggunakan sensor 16 Megapiksel.
Untuk harga dan ketersediaan, Sharp akan mengumumkan dua minggu selepas pelancarannya.

