
[Tertiris] Samsung Galaxy S9 Menyokong Speaker Stereo Yang Ditala Oleh AKG
Selagi sesebuah telefon pintar itu tidak diumumkan secara rasmi, selagi itulah berita ketirisan mengenai model itu akan sentiasa dikongsikan di Internet. Baru-baru ini satu lagi berita mengenai Samsung Galaxy S9 telah dikongsikan melalui forum popular Reddit yang telah memperlihatkan gambar bahagian belakang kotak pembungkusan yang dipercayai milik model tersebut.
Melalui gambar yang telah dikongsikan oleh seorang pengguna yang menggunakan nama minhvn, Samsung Galaxy S9 dipercayai menyokong paparan skrin sebesar 5.8 inci Quad HD+ Super AMOLED, kamera belakang beresolusi 12 Megapiksel dengan Aperture f/1.5 yang turut dilengkapi dengan OIS dan juga teknologi Super Speed Dual Pixel, keupayaan penggambaran gerak perlahan, kamera swafoto auto fokus beresolusi 8 Megapiksel, memori 64GB serta RA M 4GB, kalis air serta debu dengan pengiktirafan IP68, dan juga keselamatan biometrik pengimbas Iris.
Selain menawarkan fon telinga yang ditala oleh AKG, Samsung Galaxy S9 juga sebenarnya turut menampilkan sokongan speaker stereo yang turut ditala secara eksklusif oleh pakar audio tersebut. Ini bermakna Galaxy S9 bakal menjadi peranti premium pertama keluaran Samsung yang menawarkan dua buah speaker berkualiti stereo di pasaran.