
vivo V7+ yang dilancarkan secara rasmi pada September 2017 yang lalu sememangnya menjadi pilihan pengguna yang mementingkan kualiti swafoto. Dengan sokongan kamera depan beresolusi 24 Megapiksel, vivo V7+ yang dijual pada harga RM1,499 ini telah menerima potongan harga sebanyak RM100 bermula 22 Disember yang lalu. Kini pengguna boleh memiliki vivo V7+ pada harga yang jauh lebih rendah apabila melanggan pelan pascabayar yang ditawarkan oleh Digi, Celcom dan juga Maxis.
Digi
Digi menawarkan potongan harga sehingga 85 peratus untuk vivo V7+ iaitu pada harga serendah RM229 apabila anda memilih untuk melanggan pelan pascabayar Digi Postpaid 138. Manakala untuk pelan Digi Postpaid 108, vivo V7+ akan dijual pada harga RM509, dan RM789 untuk pelan Digi Postpaid 78. Kesemua pelan ini terikat dengan kontrak selama 24 bulan dan pelanggan juga boleh memilih untuk membuat pembayaran penuh vivo V7+ ataupun membayar secara ansuran melalui pelan pembayaran mudah (EPP) yang ditawarkan.
Celcom
Untuk pelanggan Celcom pula, vivo V7+ boleh dimiliki pada harga serendah RM138 dengan langganan pelan pascabayar FIRST Platinum Plus dengan komitmen bulanan sebanyak RM188. Pelan pascabayar dengan komitmen bulanan RM98 iaitu FIRST Gold Plus pula menawarkan vivo V7+ pada harga RM828. Terdapat sebanyak empat pilihan pelan yang ditawarkan oleh Celcom iaitu FIRST Platinum Plus, FIRST Platinum, FIRST Gold Supreme, dan juga FIRST Gold Plus.
Maxis
Dengan hanya RM1, pelanggan Maxis boleh memiliki vivo V7+ melalui langganan pelan MaxisONE 158 atau MaxisONE 188 dengan kontrak selama 24 bulan. Promosi MaxisONE RM1 untuk vivo V7+ ini boleh didapati melalui Pusat Maxis ataupun Rakan Eksklusif Maxis (MEP) di seluruh negara.


