Kemas Kini OxygenOS 5.0 Untuk OnePlus 5 Telah Ditarik Semula

Lebih kurang dua minggu selepas OnePlus mengumumkan kemas kini OxygenOS 5.0 untuk model OnePlus 5 diumumkan, ketersediaan kemas kini itu nampaknya telah dihentikan serta-merta. Berita penarikan semula kemas kini terbaru berasaskan Android 8.0 Oreo untuk model OnePlus 5 ini telah dibuat berikutan isu yang dihadapi oleh pemilik peranti ini.

Berdasarkan pemerhatian eRing, antara isu yang dihadapi oleh pengguna yang menggunakan OxygenOS 5.0 ini termasuklah masalah berkaitan Bluetooth, masalah getaran serta bunyi beep yang berterusan ketika menjawab panggilan, ketahanan bateri yang lemah, aplikasi ditutup secara tiba-tiba dan banyak isu lain lagi.

Menyedari akan isu yang dihadapi dengan OxygenOS 5.0 ini, pihak OnePlus telah mengeluarkan kenyataan untuk menghentikan kemas kini tersebut dan sedang membuat persiapan untuk tampil dengan kemas kini terbaru OxygenOS 5.0.1 tidak lama lagi. Namun begitu tiada tarikh spesifik yang diumumkan oleh OnePlus setakat ini.

Sumber: OnePlus

You might also like