
[Tertiris] Meizu M6s Sokong Sensor Pengimbas Cap Jari Pada Butang Kuasa

Meizu Malaysia baru sahaja melancarkan secara rasmi peranti terbaru keluarannya dengan kemunculan model Meizu M6 untuk segmen kelas pertengahan. Tidak sampai sebulan selepas model itu dilancarkan, sudah tersebar pula berita mengenai ketirisan model dari siri yang sama iaitu Meizu M6s.

Untuk pengetahuan pembaca, sebelum ini sudah terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa Meizu sudahpun merancang untuk memperkenalkan sebanyak 6 model telefon pintar terbarunya pada awal tahun 2018. Jadi berkemungkinan besar model Meizu M6s ini merupakan salah satu daripada model yang akan diperkenalkan memandangkan model ini sudahpun mendapat kelulusan TENAA di China.Berdasarkan maklumat yang diperolehi, Meizu M6s dipercayai akan menjadi peranti pertama Meizu yang menampilkan sokongan skrin berukuran 5.7 inci dengan nisbah paparan 18:9. Selain itu, ia juga tampil dengan kerangka bersaiz 152 x 72.54 x 8.0mm dengan kapasiti bateri sebesar 2,930 mAh.

Memandangkan butang mBack telah disingkirkan bagi membolehkan penggunaan paparan yang lebih besar, sensor pengimbas cap jari pada Meizu M6s ini dikatakan telah dipindahkan ke butang kuasa. Ini jelas dapat dilihat melalui gambar yang mana butang kuasa pada Meizu M6s tampil lebih rata dan lebar, mirip seperti yang digunakan pada peranti Sony Xperia sebelum ini.

