
Samsung menambah satu lagi siri telefon pintar, kali ini memperkenalkan peranti kelas pertengahan yang diberi nama Samsung Galaxy A8 (2018). Telefon pintar yang bakal membuka tirai 2018 ini tampil dengan ciri-ciri fizikal luaran yang premium dan kemas, malah jurang antara ia dengan peranti kelas flagship tidak begitu jauh untuk dibandingkan.
Jika tempoh hari eRing ada kupaskan mengenai rupa dan rekaan luaran, kali ini kami ingin membawakan bagaimana peranti ini beraksi dari segi keupayaannya.
Spesifikasi
- Infinity Display 5.6” S. AMOLED FHD+ (1080 x 2220)
- Exynos 7885 Octa-core (2 x 2GHz + 6 x 1.6GHz)
- Android 7.1.1 Nougat / Samsung Experience 8.5
- RAM 4GB / ROM 32GB (microSD hingga 256GB)
- Dwi kamera depan 16MP + 8MP FF f/1.9
- Kamera belakang 16MP f/1.7 PDAF / LED flash
- Video 1080p @ 30fps
- Bluetooth 5.0 / FM Radio / USB Type-C
- IP68 / Corning Gorilla Glass
- Pengecaman Wajah / Pengimbas Jari
- Dwi slot SIM
- Bateri 3,000mAh / Adaptive Fast Charging
- Ukuran 149.2 x 70.6 x 8.4 mm
- Berat 172 g
Antaramuka

Samsung Galaxy A8 (2018) bukan menggunakan Android Oreo sebaliknya menerima Android 7.1.1 Nougat terus dari kotak. Walaupun bukan versi Android terbaru untuk telefon tahun 2018, Samsung tetap memasukkan antaramuka Samsung Experience 8.5 sama seperti yang ada pada Galaxy S8, Note8 dan J7 (2017).

Setakat ini, tidak banyak yang boleh dibezakan tetapi ciri-ciri yang diterapkan merasakan peranti ini seolah-olah sebuah peranti flagship.

Apa yang menarik untuk digunakan ialah fungsi bantuan maya (Bixby), Samsung Pay dan Always-On-Display (AOD) di mana ciri-ciri ini kebiasaannya terdapat pada peranti kelas atasan.

Selain itu bagi memudahkan pengguna, panel notifikasi boleh dibuka terus melalui pengimbas cap jari di belakang dengan meleret jari ke arah bawah. Jadi capaian jari untuk ke bahagian paling atas skrin mampu dielakkan.
Kuasa Dalaman
Dilengkapi dengan Exynos 7885, cip ini turut dikuasakan oleh pemproses Octa-core dan sistem grafik Mali-G71. Sekaligus, ia mendorong dua-teras 2.2GHz di samping enam-teras 1.6GHz melaksanakan tugasan tanpa sebarang masalah.
Di samping itu, prestasi pemprosesan juga lebih hebat dengan adanya memori RAM 4GB dan ROM 32GB. Sementara untuk Samsung Galaxy A8+, ia hadir dengan memori yang lebih besar iaitu RAM 6GB dan ROM 64GB. Kedua-dua ini masih mampu menyimpan fail dan gambar melalui kad microSD sehingga 256GB.
Keselamatan
Selain daripada pengimbas cap jari untuk membuka peranti, Samsung Galaxy A8 (2018) juga membawakan fungsi pengecaman wajah yang dapat memudahkan pengguna. Pada masa sama, ia juga boleh digunakan bersama pengimbas cap jari, paten, PIN dan kata laluan.

Ciri seperti Samsung Pass pula berfungsi memberikan pengguna akses yang selamat kepada aplikasi dan perkhidmatan menerusi penggunaan biometrik pengecaman wajah ataupun imbasan jari.
Bateri

Varian Galaxy A8 (2018) yang kami sedang reviu pula ia dimuatkan dengan bateri sebesar 3,000mAh jenis Li-Ion. Walaupun boleh dikatakan saiz yang agak kecil, peranti ini tidak mengecewakan dari segi ketahanan kerana ia dilengkapi teknologi pengecasan pantas Adaptive Fast Charging. Sebaliknya, untuk varian Galaxy A8+ (2018), ia menerima bateri berkapasiti 3,500mAh.
Ujian Benchmark
Kamera
Buat pertama kalinya dalam barisan produk Samsung, sistem penggambaran kini dibekalkan dengan dwi kamera depan menerusi sensor 16MP + 8MP aperture f/1.9. Gabungan dua sensor FF (fixed focus) ini menawarkan gambar swafoto dengan efek bokeh, selain latar belakang kabur pula boleh dilaras mengikut kesesuaian yang dinamakan Live Focus.
⇑ Video hyperlapse
Bagi penggambaran utama pula, peranti ini tidak hadir dengan dwi lensa tetapi telah memuatkan sebuah sensor tunggal sebesar 16MP aperture f/1.7. Ia turut menyokong PDAF (phase detection autofocus) dan LED flash bersama-sama. Rakaman video pada kedua-dua kamera pula hanya terhad kepada HD penuh 1080p serta fungsi HDR.
Outdoor

Indoor

2x Digital Zum

Makro

Outdoor

Malam

Filter
Selfie


KESIMPULAN
Sepanjang reviu menggunakan Samsung Galaxy A8 (2018), peranti ini cukup menarik minat kerana rekaan yang premium serta tidak terlalu besar membolehkan ia mudah untuk dimasukkan ke dalam poket. Ketebalan yang tidak terlalu nipis juga senang untuk digenggam tetapi jika tidak memakai sarung pelindung, kotoran seperti cap jari mudah terperangkap.
Walaupun bingkai agak tebal untuk tahun 2018, ia masih indah untuk dipandang kerana bucu paparan telah dilengkungkan. Pengimbas cap jari yang lebih ergonomik juga lebih mudah untuk dicapai jika dibandingkan dengan Galaxy S8. Kedudukan speaker yang berada di bahagian sisi-atas juga tidak mudah untuk dilitupi oleh jari dan yang paling penting terdapat bicu audio jack untuk sambungan fon telinga.
Dari segi prestasi, telefon pintar ini memberikan pengalaman yang memuaskan serta bermain permainan mudah alih masih lancar. Sistem buka kunci khususnya pengecaman wajah tidaklah secekap iPhone X, tetapi untuk percubaan kelas pertengahan dari Samsung, ia sesuatu yang patut dihargai.
Jadi jika anda diberi peluang untuk memilih peranti kelas pertengahan-atas, mungkin peranti ini menjadi senarai yang teratas. Namun, harga masih menjadi tanda tanya.




