
honor 9 Lite Dengan Sokongan Empat Kamera Dilancarkan Untuk Pasaran China
Jika Huawei telahpun melancarkan peranti pertamanya dengan sokongan empat kamera melalui kemunculan model Huawei Nova 2i pada Oktober yang lalu, nampaknya honor juga tidak mahu ketinggalan apabila model terbaru honor 9 Lite telah dilancarkan untuk pasaran di China.
Selain menampilkan sokongan empat kamera iaitu kombinasi dua lensa beresolusi 13 Megapiksel + 2 Megapiksel untuk kamera utama, dan juga 13 Megapiksel + 2 Megapiksel untuk kamera swafoto, honor 9 Lite ini turut menawarkan paparan berukuran 5.65 inci IPS LCD dengan nisbah 18:9. Sokongan paparan moden sebegini dilihat sesuatu yang menarik memandangkan model honor 9 masih lagi menggunakan nisbah paparan 16:9.

honor 9 Lite yang dioperasikan dengan antaramuka EMUI 8.0 berasaskan Android 8.0 ini akan mula dijual pada 26 Disember nanti di China dan dilaporkan akan turut dijual ke 14 buah negara lain tidak lama lagi. Tedapat tiga varian boleh dipilih iaitu 32GB + RAM 3GB yang dijual pada harga CNY 1,199 (kira-kira RM 749), manakala untuk varian 32GB + RAM 4GB akan dijual CNY 1,499 (kira-kira RM 937), dan 64GB + RAM 4GB pula berharga CNY 1,799 (kira-kira RM 1,124).



