iPhone Menjadi Kamera Paling Banyak Digunakan Di Flickr

Sepertimana yang kita ketahui, penggunaan kamera pada telefon pintar dilihat lebih meluas digunakan berbanding kamera kompak mahupun kamera DSLR. Ini sebenarnya didorong oleh pelbagai faktor seperti saiz lebih kecil yang mudah dibawa, lebih praktikal kerana menyokong pelbagai fungsi di dalam satu peranti, dan juga keupayaan penggambaran yang semakin berkuasa menjadi sebab mengapa ia lebih digemari.

Berdasarkan kepada data yang dikongsikan oleh Flickr, iPhone merupakan peranti yang paling banyak digunakan untuk mengambil gambar di laman sesawang itu dengan mencatatkan sebanyak 54% daripada 100 model kamera yang digunakan oleh jurugambar. Kedudukan di tempat kedua pula telah disandang oleh Canon dengan hanya 23%, dan diikuti oleh Nikon di tempat ketiga dengan 18%.

Berbanding tahun 2016 yang lalu, Apple turut menyandang tempat pertama dengan mencatatkan sebanyak 47%, manakala tahun 2014 pula memperlihatkan kedudukannya di tempat kedua di belakang Canon. Mengikut kajian yang telah dijalankan, penggunaan telefon pintar untuk mengambil gambar telah meningkat saban tahun mengatasi penggunaan kamera kerana sebanyak 50% daripada keseluruhan hasil gambar yang dimuat naik di Flickr adalah dari kamera telefon pintar.

You might also like