

Rata-rata pengguna telefon pintar di Malaysia lebih yakin dengan Xiaomi berbanding jenama China yang lain. Lebih-lebih lagi bila cerita bab harga, semuanya boleh dikatakan setuju sahaja tidak kiralah model dari kelas permulaan sehinggalah ke kelas atasan. Tidak boleh dinafikan, Xioami sering menawarkan peranti yang berbaloi untuk dimiliki.
Oleh itu, Xiaomi Malaysia hari ini mengumumkan bahawa peranti Xiaomi Mi A1 boleh ditempah bermula 16 September ini. Lantas menjadikan Malaysia antara yang terawal menerima peranti pertama keluaran Xiaomi tanpa antaramuka MIUI. Sebaliknya, telefon pintar yang mantap ini menyediakan sistem operasi Android tulen berasaskan Android 7.0 Nougat.

Dengan menjenamakan ia sebagai Android One, anda yang berminat boleh menempahnya melalui Mi Store di Lazada atau ke kedai fizikal Mi Premium Reseller (P.Pinang), DirectD, atau Mobile To Go (Petaling Jaya). Untuk pra tempah atas talian, ia dibuka pada jam 12 tengah malam pada Hari Malaysia.
Xiaomi Mi A1 dikuasakan oleh cip pemproses Snapdragon 625 diikuti RAM sebesar 4GB sementara storan seluas 64GB masih menyokong kad microSD. Penampilan lebih bergaya dengan kehadiran dwi kamera 12 Megapiksel di belakang bersama ciri zoom telefoto.
Setakat ini, kami menjangkakan telefon pintar Xiaomi Mi A1 dijual pada harga RM1,199 walaupun harga rasminya masih belum diumumkan.

