
MWC 2017: Teknologi Kamera OPPO 5X Diperkenalkan
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, OPPO telah pun memperkenalkan teknologi optik terbaru mereka yang dikenali sebagai 5X. Teknologi terbaru ini secara amnya membolehkan anda mendapatkan kualiti imej zoom yang jauh lebih baik.
Teknologi ini menawarkan keupayaan zoom sehingga 5x pada telefon pintar tanpa kompromi kepada kualiti gambar. Selain itu OPPO juga telah membangunkan sistem penstabilan yang baru bagi memudahkan anda mengambil gambar ketika berada di dalam mod zoom, hasil imej akan menjadi lebih stabil dan berkualiti tinggi. OPPO bekerja selama hampir setahun untuk membangunkan teknologi dwi-kamera periskop ini dan sekarang, lebih daripada 50 paten telah difailkan bagi teknologi ini.
Teknologi 5X Dual Camera Zoom diilhamkan dari konsep periskop pada kapal selam, kamera dual menggunakan kanta sudut lebar dan telefoto. Dengan mengalihkan sudut kanta telefoto sebanyak 90 darjah, lensa akan mempunyai ruang yang diperlukan untuk fungsi zoom. Prisma periskop kemudiannya mengarahkan cahaya memasuki kamera pada sudut 90 darjah, dan menghantar imej melalui kanta telefoto apabila anda zoom pada subjek atau objek.
Teknologi ini jauh lebih baik dari setup dwi-lensa yang kini digunakan meluas di dalam pasaran smartphone, majoriti smartphone dwi-lensa kini hanya mampu menawarkan 2X zoom sahaja.

