

Hari ini, Google memperkenalkan model penjanaan dan penyuntingan imej baharu daripada Google DeepMind dalam aplikasi Gemini. Model ini telah menerima sambutan hangat semasa pratonton awal dan merupakan model penjanaan serta penyuntingan imej yang menerima penarafan tertinggi di dunia. Kini, kami teruja untuk mengumumkan bahawa ia telah diintegrasikan ke dalam aplikasi Gemini, memberikan anda lebih kawalan untuk menghasilkan gambar yang sempurna.
Kekalkan Rupa Anda Semasa Menyunting
Kami telah melancarkan ciri penyuntingan imej asli dalam aplikasi Gemini pada awal tahun ini, dan kami telah berusaha gigih untuk menambah baik ciri tersebut, dengan tumpuan khusus untuk mengekalkan rupa watak yang konsisten dari satu imej ke imej yang berikutnya. Kami tahu bahawa apabila menyunting gambar diri sendiri atau orang yang anda kenali, sebarang perbezaan kecil adalah penting — gambaran yang ‘hampir serupa tetapi tidak sama’ pastinya tidak memuaskan. Itulah sebabnya kemas kini terbaru kami direka untuk memastikan gambar rakan, keluarga, malah haiwan kesayangan anda kelihatan konsisten seperti diri mereka yang sebenar, sama ada anda ingin mencuba gaya rambut ‘beehive’ tahun 60-an atau memakaikan topi pada haiwan peliharaan kesayangan anda.
Anda hanya perlu berikan Gemini satu gambar, dan nyatakan perubahan yang anda inginkan untuk sentuhan yang unik. Gemini membolehkan anda menggabungkan beberapa gambar untuk meletakkan diri anda bersama haiwan kesayangan, menukar latar belakang bilik untuk melihat pratonton kertas dinding baharu, atau meletakkan diri anda di mana-mana sahaja di dunia yang dapat anda bayangkan — sambil memastikan rupa anda kekal konsisten. Setelah selesai, anda juga boleh memuat naik semula imej tersebut ke dalam Gemini untuk menukarkannya menjadi sebuah video yang menarik.
Realisasikan Visi Anda dengan Suntingan Termaju
Berikut ialah beberapa cara yang boleh anda cuba sambil meneroka keupayaan penyuntingan imej baharu ini:
- Tukar kostum atau lokasi: Muat naik gambar seseorang atau haiwan kesayangan, dan model kami akan mengekalkan rupa mereka dalam setiap imej sambil anda meletakkannya dalam senario baharu. Cuba gayakan diri anda dengan pakaian atau profesion yang berbeza, atau lihat penampilan anda pada dekad yang lain — semuanya sambil mengekalkan wajah asli anda.
- Gabungkan gambar: Anda kini boleh memuat naik beberapa gambar dan menggabungkannya untuk menghasilkan satu babak yang baharu. Sebagai contoh, ambil gambar anda dan satu lagi gambar haiwan kesayangan anda untuk mencipta potret sempurna anda berdua di gelanggang bola keranjang.
- Penyuntingan berbilang peringkat: Anda boleh terus menyunting imej yang dihasilkan oleh Gemini — ambil gambar bilik kosong, cat dindingnya, kemudian tambah rak buku, perabot atau meja kopi. Gemini akan bekerjasama dengan anda untuk mengubah bahagian tertentu imej sambil mengekalkan bahagian yang lain.
- Campuran reka bentuk: Aplikasikan gaya daripada satu imej pada objek dalam imej yang lain. Anda boleh mengambil warna dan tekstur kelopak bunga dan menggunakannya pada sepasang but hujan, atau mereka bentuk pakaian menggunakan corak daripada sayap rama-rama.
Anda boleh mencuba keupayaan penyuntingan imej yang dikemas kini ini dalam aplikasi Gemini bermula hari ini. Semua imej yang dicipta atau disunting dalam aplikasi Gemini menyertakan tera air (watermark) yang boleh dilihat, serta tera air digital SynthID kami yang tidak kelihatan, untuk menunjukkan dengan jelas bahawa ia dijana oleh AI.

