
Kemunculan Samsung Galaxy Fold membuatkan emosi ramai pihak bercampur-baur dengan logik. Masakan tidak, ia menampilkan segudang teknologi canggih yang tidak terdapat di dalam mana-mana peranti sebelum ini. Jika dilihat pada harga ditawarkan, mungkin tidak ramai yang sanggup membelanjakannya. Pun begitu, kalau diukur dari segi spesifikasi – ia adalah antara model yang boleh dipertimbangkan. Justeru, mari kita lihat beberapa penemuan teknologi yang dapat di kategorikan sebagai sangat berinovasi pada Galaxy Fold.

BUKA SEPUASNYA SEUMPAMA MEMBACA BUKU!
Boleh dikatakan Samsung Galaxy Fold adalah sebuah peranti yang dibina dengan rekaan “cool” dan sleek. Samsung dilihat sengaja menampilkan pembaharuan dalam model rekaannya kali ini agar ia tampak luar biasa dalam kelas tersendiri dan berjalan seiring dengan peredaran arus teknologi semasa. Meskipun dibanjiri dengan berita kurang enak sebelum ini, namun Samsung dilihat bangkit membuat beberapa penambahbaikan besar pada ketahanan Galaxy Fold.
Galaxy Fold mempunyai dua skrin – skrin utama dilipat dan paparan kedua di luar.Saiz paparan ini adalah 4.6 inci apabila dilipat untuk penggunaan telefon biasa dan 7.3 inci apabila dalam mod tablet. Ia kelihatan seperti sebuah buku kecil dengan dua bahagian berasingan yang disambungkan dengan engsel. Terdapat takuk agak besar pada sudut kanan atas paparan utama – jika ia dirasakan menjengkelkan, takuk ini boleh disorokkan menerusi tetapan yang terbina dalam peranti. Tidak ketinggalan, sokongan pengimbas cap jari terletak pada bahagian kanan peranti – ia dilihat mudah untuk diaktifkan dan prestasinya harus dipuji! Peranti ini didatangkan dalam dua pilihan warna : Space Silver & Cosmos Black.
PERISIAN INOVATIF – KESINAMBUNGAN 3 APLIKASI!
Bagi memanfaatkan peranti secara optimum, Samsung bekerjasama dengan Google bagi merangka sejumlah perisian pintar ke dalam Galaxy Fold. Antaranya App continuity – fungsi di mana membolehkan aplikasi pada skrin luar dipaparkan secara terus pada skrin utama. Sepanjang penggunaan, ia didapati mampu memindahkan paparan daripada panel luar ke skrin utama dengan lancar tanpa masalah terutamanya ketika menonton video di Youtube.
Selain itu, Galaxy Fold juga diselitkan dengan satu lagi ciri yang kelihatan “cool” – Multi Active Window. Fungsi di mana membolehkan pengguna menggunakan sehingga tiga aplikasi secara serentak apabila dalam mod tablet – sekaligus memudahkan proses multitasking.
6 KAMERA DENGAN KEUPAYAAN SERBA BOLEH!
Memiliki 6 kamera mungkin agak berlebihan, namun jika ia dikemaskan dalam reka bentuk yang unik pastinya nampak menarik. Itulah gambaran tepat yang dapat diungkapkan terhadap Galaxy Fold. Ia mempunyai 3 kamera pada bahagian belakang dengan gabungan lensa – 12MP (utama) + 16MP (Ultra Wide) + 12MP (telephoto).
Apabila dibentang, terdapat dua lensa pada skrin utama – 10MP (utama) + 8MP (portrait) – memberi lebih kepuasan untuk pengguna berselfie dengan pelbagai kesan bokeh. Akhir sekali, terdapat kamera selfie sebesar 10MP pada bahagian hadapan apabila Fold ditutup – bersesuaian untuk selfie dan pengecaman wajah.
Galaxy Fold dilihat mampu menangkap gambar dengan cantik bersama warna yang tepu bersama kemasan perincian yang hebat. Jika diteliti, kualiti imej terhasil kelihatan begitu unggul dengan persembahan imej yang jelas. Prestasi fotografi pada pencahayaan rendah juga dilihat pada tahap baik – ianya ternyata memberikan hasil yang dikategorikan baik dan kelihatan menyerlah seakan-akan melihatnya dengan mata kasar.
PRESTASI DALAMAN UNGGUL!
Dengan penggunaa cip pemproses Snapdragon 855 bersama persediaan memori sebesar 12GB RAM dan storan dalaman 512GB – Prestasi pada model terbaru Samsung ini tidak boleh disangkal lagi. Ia berupaya berfungsi dengan baik meskipun membuka lebih daripada satu aplikasi dalam satu masa yang sama sekaligus menyajikan pengalaman yang amat mengagumkan. Dalam ujian penanda aras Geekbench 5, Samsung Galaxy Fold mencatatkan markah sebanyak 730 mata untuk ujian tunggal dan 2,557 mata untuk ujian pelbagai teras. Untuk ujian penanda aras AnTuTu pula, peranti ini meraih markah sebanyak 451,284 mata.
BATERI DENGAN TENAGA HEBAT + POWER SHARE!
Samsung Galaxy Fold dibekalkan dengan kapasiti bateri yang besar iaitu 4,380mAh untuk penggunaan sepanjang hari. Lebih menarik, ia didatangkan dengan sejumlah ciri inovatif termasuk sokongan pengecasan pantas dan Wireless PowerShare – ciri di mana membolehkan pengguna mengecas peranti tanpa memerlukan kabel pengecasan. Wireless PowerShare juga serasi digunakan untuk pengecasan aksesori lain termasuk Samsung Galaxy Buds.
APA KATA EDITOR?
Samsung Galaxy Fold boleh dikategorikan sebagai sebuah peranti yang cukup menonjol dalam pasaran masa kini. Jadi, apa yang dapat disimpulkan di sini Samsung berani mengambil langkah lebih maju menerusi pengenalan peranti ini. Di samping itu, Samsung juga dilihat berjaya mencetuskan teknologi cukup kretif dan inOvatif yang mungkin tiada pada peranti lain! Memang terbaik!
























