
Peranti vivo Dengan Pengimbas Cap Jari Di Sebalik Skrin Bakal Hadir Pada Tahun 2018?!

Berita mengenai penghasilan inovasi teknologi pengimbas cap jari di sebalik paparan skrin bukanlah sesuatu yang baru kerana sebelum ini vivo pernah memperlihatkan telefon pintar konsepnya pada Jun 2017 yang lalu. Nampaknya teknologi itu mungkin akan menjadi kenyataan apabila Synaptics yang turut berusaha untuk membangunkan teknologi itu telah mengumumkan kejayaan mereka untuk mengatasi isu yang dihadapi oleh Qualcomm sebelum ini.

Malah berdasarkan kepada tweet yang telah dikongsikan oleh penganalisa, Partrick Moorhead, dia telah mendedahkan gambar peranti vivo yang dilengkapi dengan pengimbas cap jari di sebalik skrin yang telah dihasilkan oleh Synaptics. Menurutnya lagi, sensor imej CMOS setebal 0.7mm ini berupaya untuk mengimbas cap jari melalui paparan OLED dengan begitu pantas dan mudah sekali.

Bahkan Synaptics sendiri turut mendakwa bahawa teknologi terbaru ini menjanjikan kepantasan dua kali ganda berbanding teknologi pengecaman wajah 3D atau lebih dikenali sebagai Face ID yang digunakan oleh Apple pada iPhone X. Kejayaan Synaptics dalam mengintegrasikan teknologi pengimbas cap jari di sebalik skrin pada peranti pra-pengeluaran dari vivo ini jelas mengesahkan kehadiran teknologi ini pada peranti vivo menjelang tahun 2018 nanti.

