
Peminat movie pastinya teruja kerana MBO hari ini telah melancarkan pawagam terbaharu di Atria Shopping Gallery, iaitu sebuah skrin Samsung Onyx yang pastinya memberikan tontonan 4K terbaik kepada penonton. Ia merupakan Skrin Onyx Cinema LED pertama di MBO Cinema berikutan kerjasama dengan Samsung.
Dewan Onyx ini menyokong kandungan resolusi dinamik tinggi (High Dynamic Resolution, HDR), dapat menjamin persembahan warna yang tepat serta imej yang bebas dari distorsi. Dewan ini turut menyediakan sistem bunyi seumpama kehidupan sebenar menggunakan teknologi pembesar suara JBL Surround System oleh Harman yang mempamerkan bunyi yang jelas dan seimbang.
MBO Cinema di Atria Shopping Gallery ini mampu menampung sehingga 1229 orang dan menawarkan 8 skrin termasuk dewan-dewan khas seperti Big Screen, Onyx dan dua dewan MBO kecil.
Bukan itu sahaja, ia juga turut menawarkan konsesi di bahagian luar dewan pawagam menerusi pelancaran Cafecito yang merupakan kafe moden yang menjual minuman unik dan makanan ringan. Bagi ibu bapa yang membawa kanak-kanak, sebuah taman permainan kecil berhampiran kafe turut disediakan untuk kanak-kanak.
Bersempena dengan pembukaan pawagam MBO baharu ini, tawaran promosi masa terhad diberikan kepada pengguna aplikasi “Samsung Mobile App” di mana berpeluang menikmati promosi khas Buy 1 Free 1 ketika membeli ticket wayang bagi dewan Onyx di sini. Setelah pembelian dilakukan, pamerkan kod e-baucar dalam aplikasi Samsung Mobile App anda di kaunter untuk menebus tiket kedua secara percuma.

