
HUAWEI hari ini secara rasminya telahpun melancarkan peranti terbaru keluaran mereka, HUAWEI Nova 4 ke pasaran tempatan – yang mana merupakan peranti pertama HUAWEI menyokong rekaan paparan skrin berlubang.
Nova 4 hadir dengan paparan IPS LCD bersaiz 6.4 inci FHD+ yang menyokong resolusi 2310 x 1080 piksel, bersama rekaan paparan berlubang menempatkan kamera selfie sebesar 25MP (bukaan sebesar : 3.05mm).
Enjin telefon pintar ini diperkuatkan oleh cip permproses Kirin 970 yang digandingkan dengan memori sebesar 8GB RAM bersama storan dalaman 128GB. Lebih menarik, di dalamnya turut tertanam teknologi GPU Turbo yang dinaik taraf bagi meningkatkan prestasi permainan yang baik.
Pada kamera, Nova 4 dilengkapi dengan sokongan sistem tri-kamera utama pada panel belakang. Seperti yang kita tahu, ia sebenarnya hadir dengan dua versi iaitu standard (kombinasi sensor: 20MP +16MP + 2MP) dan premium (kombinasi sensor : 48MP +16MP + 2MP.

Namun hanya satu varian sahaja ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu versi standard yang mempunyai gabungan lensa sebesar 20MP (f/1.8) + 16MP (f/2.2) lensa ultra lebar, dan sensor kedalaman 2MP (f/2.4). Kamera Nova 4 dilengkapi dengan teknologi AI selain turut menampilkan penstabilan imej EIS pada rakaman video.
Spesifikasi lain termasuklah bateri berkapasiti 3,750mAh bersama pengecasan pantas 18W dan terdapat pengimbas cap jari fizikal berbentuk bulat pada panel belakang.
Tersedia dalam dua warna iaitu Crush Blue dan Black, Nova 4 kini ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM1,899. Bagi yang berminat, ketersediaan bermula 14 Februari dan anda boleh memilikinya menerusi HUAWEI Experience Stores, syarikat telekomunikasi utama dan pengedar-pengedar sah HUAWEI.

