
Google Pixel 3 & Pixel 3 XL Kini Rasmi – Menawarkan Penggambaran Lebih Hebat!
Selepas hampir beberapa bulan peminat Android dan Google berteka-teki dengan pelbagai ura-ura yang dikeluarkan, akhirnya Google dengan rasminya mengumumkan telefon pintar terbaharu mereka iaitu Google Pixel 3 dan Pixel 3 XL.
Dari segi rekaan, Google Pixel 3 dan Pixel 3 XL nampaknya masih lagi mengekalkan rekabentuk yang hampir sama seperti model sebelumnya, cuma paparan skrin lebih besar dan Google Pixel 3 XL turut hadir dengan takuk yang sangat janggal untuk dipaparkan.

Menampilkan skrin 5.5-inci bagi Pixel 3, manakala Pixel 3 XL pula menawarkan paparan skrin bersaiz 6.3-inci dengan bezel yang lebih nipis pada kedua-duanya. Seperti panel OLED lain, kedua-dua peranti menyokong ciri HDR, Always On Dislay, serta Color Mode selain dilindungi panel Corning Gorilla Glass 5 depan dan belakang.

Fungsi penggambaran pula, Pixel 3 dilengkapi sensor penstabilan imej optikal 12.2MP dengan aperture f/1.8. Kali ini, Google telah memasukkan integrasi kecerdasan buatan untuk penggambaran yang lebih kemas serta cantik. Berbanding belakang yang menggunakan satu kamera, Pixel 3 telah hadir dengan sistem dwi-kamera depan 8MP. Satu lensa untuk rakaman normal dan satu lagi lensa untuk penggambaran bersudut luas dengan ciri penstabilan imej digital.

Google juga telah menamakan tiga warna yang diperkenalkan dengan gaya yang lebih segar iaitu Clearly White, Only Black dan juga Not Pink. Seperti yang diumumkan ura-ura sebelum ini, Googel Pixel 3 dan Pixel 3 XL dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 845, RAM 4GB dan pilihan storan dalaman 64GB atau 128GB.
https://www.youtube.com/watch?v=vKSA_idPZkc
Dua peranti ini akan dijual di AS terlebih dahulu pada harga bermula USD799 (kira-kira RM3,320) untuk Pixel 3 dan USD899 (kira-kira RM3,736) untuk Pixel 3 XL.

