
Android N Mungkin Dikenali Sebagai ‘New York Cheesecake’
Sebagaimana yang diketahui umum, Android telah menggunakan nama pencuci mulut bagi mewakili huruf pertama yang digunakan pada setiap versi platform tersebut. Jika Android M turut dikenali sebagai ‘Marshmallow’, kini Android N pula berkemungkinan besar akan mewakili ‘New York Cheesecake’ sebagaimana yang telah berjaya didedahkan baru-baru ini. Berdasarkan penemuan tersebut, pihak Google dilihat telah menggunakan singkatan ‘nyc’ di dalam repositori AOSP. Walau bagaimanapun, ‘New York Cheesecake’ ini bukanlah sahih kerana ia hanyalah tanggapan awal dan ianya mungkin mewakili maksud lain yang tidak diketahui.
Malah pihak Google juga nampaknya masih lagi belum mengesahkan nama sebenar Android N kerana ianya dilihat masih lagi mengadakan undian online yang meminta pengguna untuk menjawab dua soalan mudah iaitu yang pertama meminta pengguna memasukkan jawapan bagi makanan kegemaran mereka yang bermula dengan huruf ‘N’, manakala soalan kedua pula pengguna diminta untuk memilih salah satu menu kegemaran yang bermula dengan huruf N daripada senarai yang disediakan. Siapa tahu Android N akan lebih dikenali sebagai Android Nutella memandangkan ianya merupakan antara ramalan yang agak popular di Internet.

