
Samsung Galaxy J7 Pro Dan J7 Max Dilancarkan Di India

Memandangkan pengguna di India lebih ramai mensasarkan telefon pintar kelas pertengahan, maka Samsung telah memperkenalkan dua peranti iaitu Samsung Galaxy J7 Pro dan Galaxy J7 Max dengan sokongan rangkaian 4G LTE dan dwi slot SIM.

Samsung Galaxy J7 Pro hadir dengan paparan Super AMOLED 5.5 inci HD penuh, dikuasakan oleh set cip Exynos 7870 lapan teras A53 dan RAM sebesar 3GB serta 64GB storan dalaman. Manakala, Samsung Galaxy J7 Max didatangkan dengan saiz paparan IPS LCD 5.7 inci HD penuh bersama pemproses MediaTek Helio P20 lapan teras A53, diikuti RAM sebanyak 4GB dan 64GB storan dalaman.

Sistem operasi bagi kedua-dua peranti ini menggunakan Android 7.0 Nougat dan ciri Samsung Pay juga dapat memudahkan pengguna untuk membuat pembayaran di kedai-kedai.

Kedua-dua peranti ini juga dilengkapi kamera 13 Megapiksel dengan bantuan LED flash, di bahagian depan aperture f/1.9 manakala di bahagian belakang pula aperture f/1.7 dapat membantu mencerahkan gambar yang diambil. Ia juga diletakkan pengimbas cap jari di panel depan pada kedua-dua model termasuk bateri berkapasiti 3,600mAh untuk Galaxy J7 Pro, sementara Galaxy J7 Max menerima bateri lebih kecil iaitu 3,300mAh.

Samsung menawarkan Galaxy J7 Pro pada harga INR21,000 (lebih kurang RM1,412) dan Galaxy J7 Max pula pada harga INR18,000 (lebih kurang RM1,198), ia akan mula dijual di pasaran India bermula 20 Jun depan dengan warna pilihan emas dan hitam.
