
Harga: (64GB) RM1,599 (128GB) RM1,899
Peranti Xiaomi memang terkenal dengan spesifikasi “sedap” di bawah harga mesra, bukan sekadar peranti kelas pertengahan bahkan peranti flagship juga tidak membebankan peminatnya. Selain siri MIX yang berkuasa tinggi, siri Mi juga amat digemari ramai. Terkini Xiaomi telah membawa masuk peranti berskrin takuk iaitu Mi 8 ke pasaran Malaysia.
Adakah tawaran harga yang di luar jangkaan ramai ini mempunyai prestasi yang juga di luar jangkaan? Adakah berbaloi dibeli? Baca selanjutnya reviu eksklusif di bawah…
(1) SPESIFIKASI
Spesifikasi | Xiaomi Mi 8 |
Sistem Operasi | Android 8.1 Oreo, MIUI 9.6 |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 845 Octa-core 4x 2.8GHz + 4x 1.8GHz |
Kad Grafik | Adreno 630 |
Paparan | 6.21 inci AMOLED FHD+ (2248 x 1080) Nisbah 18:7:9, Always On Display |
Bateri | 3,400mAh, Quick Charge 3.0 9V/2A (sokong QC4+) |
Memori | 6GB RAM, 64GB/128GB ROM |
Kamera | Kamera Utama 12MP + 12MP, f/1.8 + f/2.4 aperture LED Flash, 4-axis OIS AI Beauty, AI Scene Detection (25 kategori), PortraitKamera Hadapan20MP, f/2.0 aperture AI Portrait, 3D Beauty, 10 AI Scenes |
Rakaman Video | 4K UHD |
Slot Kad | Dwi Nano SIM |
Keselamatan | IR Face Unlock, Pengimbas Cap Jari |
Sambungan | WiFi 802.11a/b/g/n/ac 2.4/5GHz, Bluetooth 5.0, NFC, USB Type-C |
Dimensi | 154.9 x 74.8 x 7.6mm / 175g |
Harga | (64GB) RM1,599 (128GB) RM1,899 |
(2) PAKEJ PEMBELIAN
Pakej pembungkusan Xiaomi Mi 8 tetap menggunakan warna hitam sebagai warna utama, aksesori dalam kotak sangat lengkap termasuk kabel USB Type-C, adapter pengecas QC3.0, audio port 3.5mm ke Type-C adapter dan sebagai.
(3) REKAAN LUAR
Rekaan Mi 8 sebenarnya lebih kurang sama dengan Mi 6, yang berbeza hanya pada skrin takuk dan penggunaan bezel yang lebih nipis.

Skrin takuk 6.21 inci menggunakan paparan Samsung AMOLED, bahagian atas tersedia kamera swafoto 20MP dengan sokongan sensor IR Face Unlock bersebelahan.


Ramai yang mengatakan Mi 8 semirip iPhone X dari segi rekaan kamera di panel belakang, namun susunan menegak dwi kamera 12MP ini tidak terlalu timbul sepertimana iPhone X. LED flash terletak di antara lensa kamera sementara pengimbas cap jari diletakkan di posisi tengah badan Mi 8.


Sisi kiri terdapat slot untuk dwi nano SIM, tetapi tiada sokongan pada kad microSD menjadi satu kekurangan pada Mi 8. Sebelah kanan pula sperti biasa terletak butang laras suara dan butang kuasa.

Bahagian bawah hadir bersama speaker yang berfungsi hanya sebelah kanan (speaker kiri adalah mikrofon) dan port USB Type-C, pembinaan ini agak mengecewakan peminat Xiaomi kerana tiada audio port 3.5mm disediakan, nasib baik masih menyediakan adapter USB Type-C ke audio port 3.5mm.
(4) SISTEM OPERASI & UI
Mi 8 dibekalkan sistem operasi Android 8.1 dengan antaramuka MIUI 9.6 (kemaskini terbaru), menurut Xiaomi kemaskini MIUI 10 akan diedarkan tidak lama lagi.
Ciri-ciri unik pada MIUI 9.6 termasuk juga Always On Display seperti pada peranti Samsung, lagi skrin takuk yang boleh disembunyikan, serta butang dan sentuhan pintas bagi mengakses aplikasi tertentu.
Satu perkara yang tidak dapat diterima adalah tetapan untuk peratusan bateri tidak disediakan, namun anda masih dapat lihat melalui ruang notifikasi apabila ditatal. Mungkin penambahbaikan ini akan disediakan pada kemaskini MIUI 10 akan datang.
(5) PRESTASI DALAMAN
Peranti flagship dengan cip pemproses Snapdragon 845 sudah menjadi perbualan ramai, apatah lagi dengan tawaran harga jualan yang tak munasabah langsung! Pemprosesan berkelajuan Octa-core 2.8GHz di bawah gandingan 6GB RAM dan kad grafik Adreno 630 menjanjikan prestasi peranti beroperasi lancar, malah pembukaan setiap aplikasi juga dalam sekelip mata sahaja.
Pilihan ruangan storan 64GB atau 128GB agak sedikit kerana tiada sokongan kad microSD ditawarkan, tetapi anda masih boleh menggunakan perkhidmatan storan awan seperti Mi Cloud, atau Google Photos untuk penyimpanan data.

Mi 8 dalam ujian benchmark Antutu mencapai skor 268346, prestasinya boleh dikatakan sangat memuaskan hanya berada di belakang Mi Black Shark dan OnePlus 6.

Manakala ujian Geekbench 4 pula, ia juga mencapai skor tertinggi pada kedua-dua ujian single-core dan multi-core berbanding peranti yang lain.
(6) UJIAN PENGECASAN
Kapasiti bateri Mi 8 sebesar 3,400mAh hadir bersama sokongan pengecasan pantas Quick Charge 3.0, menurut Xiaomi ia juga menyokong QC4.0+ yang mampu mengecas pada kelajuan yang mengujakan.
Kami telah menjalani ujian pengecasan dan kelajuannya memuaskan sahaja sekiranya disbanding dengan peranti lain.




Mi 8 mula dicas apabila bateri tinggal 6%, ia mengambil masa hanya 17 minit untuk mencapai 32% pengecasan, dan 1 jam 38 minit untuk mengecas penuh bateri 3,400mAh.
(7) SISTEM KESELAMATAN
Salah satu fokus jualan pada Mi 8 adalah sokongan IR Face Unlock pada panel hadapan peranti, semasa reviu kami tidak dapat membuka aplikasi pengecaman wajah sepertimana yang dikatakan, hanya berjaya apabila kami tukar ke negara lain. Namun begitu, bug ini telah dikemaskini dan tiada masalah lagi.
Selain pengecaman wajah, sistem keselamatan lain termasuk juga pengimbas cap jari pada panel belakang, paten, PIN dan kata laluan.
(8) PRESTASI KAMERA
Berasaskan teknologi kecerdasan-buatan, dwi kamera utama Mi 8 hadir dengan 12MP + 12MP yang masing-masing dilengkapi f/1.8 dan f/2.4 aperture, sementara kamera hadapan pula dibekalkan lensa 20MP dengan f/2.0 aperture.



Ciri-ciri lain termasuk 4-axis OIS, PDAF, 2x zum optikal, rakaman video 4K, Slow-motion, Time-lapse dan sebagainya.
HASIL GAMBAR
Ingin tahu hasil penggambaran Mi 8, klik satu per satu ya…























ULASAN AKHIR…
Walaupun rekaan Xiaomi Mi 8 semacam bayang “peranti buah”, tetapi apa yang menarik minat pengguna selain tawaran harga “cantik” semestinya pembinaan spesifikasi premium. Prestasi peranti ini secara keseluruhan cukup memuaskan, ada pemproses yang berkuasa, ada memori yang besar, ada juga bateri yang tahan dan pengecasan pantas Quick Charge 3.0.
Sedikit kekurangan adalah Mi 8 tidak menyediakan audio port 3.5mm, kamera juga tiada fungsi terkini seperti AR Stiker atau emoji, tetapi semua ini akan ditawarkan pada kemaskini MIUI 10 yang akan datang. Jadi, berbaloi ke tak dibeli? Dengan harga RM1,599 (64GB) dan RM1,899 (128GB), jawapan kami adalah YA.
Baca Juga:
- Perbandingan Spesifikasi POCOPHONE F1, ASUS ZenFone 5z, Xiaomi Mi 8 & OnePlus 6
- Kedai Pertama Xiaomi Di Perak Rasmi 10 September, Tawaran Promosi Hingga 50%
- 28 Peranti Xiaomi Bakal Menerima Kemas Kini MIUI 10