
Apple Watch Series 4 Hadir Dengan Skrin Lebih Besar, Sokongan ECG
Seperti yang dinantikan, Apple hari ini dengan secara rasminya memperkenalkan sejumlah peranti baharu keluaran mereka di “acara khas” dari Steve Jobs Theatre dan produk pertama yang diperkenalkan adalah Apple Watch Series 4.
Apple Watch Series 4 dikatakan hadir dengan saiz skrin yang lebih besar dengan sedikit perubahan pada rekaan berbanding generasi sebelum ini. Dengan peningkatan pada saiz skrin, pihak Apple pada masa sama turut meningkatkan saiz talinya kepada 40mm dan 44mm.
Dalam pada itu, pihak Apple turut memaklumkan jam pintar ini hadir dengan rekaan speaker yang mana 50% lebih kuat dan mikrofon juga telah dialihkan sedikit daripada bahagian speaker bagi memberikan panggilan suara yang lebih jelas.

Pihak Apple melengkapkan jam pintar ini dengan chip Apple S4 yang menawarkan rekaan dwi-teras berasaskan 64-bit. Sejumlah sensor pada produk juga telah ditambah baik dan yang lebih hebatnya, Apple Watch Series 4 turut boleh mengetahui bila anda terjatuh.


Lebih mengujakan, Apple Watch Series 4 juga kini boleh memantau ECG – yang mana memantau ritma denyutan jantung, sekaligus membolehkan ia menilai sebarang penyakit berkaitan jantung. Di samping itu, ia turut dilengkapi dengan sokongan ketahanan bateri sehingga 18 jam.
Bersama-sama dengan pengenalan Apple Watch Series 4, pihak Apple dilihat telah menawarkan beberapa tali jam khusus yang boleh disesuaikan dengan jam tangan pintar ini.
Pra-tempahan jam pintar ini bermula 14 September dan akan mula dijual bermula 21 September di beberapa buah negara pada harga USD399 (kira-kira RM1,651) untuk model GPS, manakala USD499 (kira-kira RM2,065) untuk model Selular. Buat masa ini tarikh pelancaran jam pintar untuk pasaran tempatan masih tidak diketahui lagi.