
vivo Y85 Diumumkan – Menampilkan Paparan Skrin ‘Rongak’ & Penggambaran Utama Dwi Kamera
Selain Huawei, nampaknya vivo juga semakin aktif mengeluarkan telefon pintar untuk pasaran global. Terbaru, vivo kembali dengan model kelas pertengahan yang ditawarkan pada harga mampu milik iaitu vivo Y85.
Menampilkan skrin berukuran 6.26 inci dengan paparan nisbah 19:9, turut menyerikan telefon pintar ini adalah pemproses Snapdragon 450, memori 4GB RAM dan juga dua pilihan storan iaitu 32GB serta 64GB.
Walaupun hadir dalam kelas pertengahan, ia masih dilengkapi dengan ciri-ciri menarik seperti kamera hadapan 16 Megapixel dengan teknologi AI yang mampu mengambil gambar swafoto yang cerah. Manakala penggambaran utama dwi kamera pula beresolusi 16MP f/2.0 + 2MP f/2.0 yang hadir dengan mod Potret.
vivo Y85 turut dioperasikan oleh Android 8.1 Oreo dengan antaramuka FunTouch OS 4.0 serta ketahanan bateri berkapasiti 3260mAh. Ditawarkan pada harga RMB1,598 (kira-kira RM993) untuk storan 32GB dan RMB1,798 (kira-kira RM1,117) bagi storan 64GB.
Telefon pintar ini mensasarkan kepada mereka yang inginkan sebuah peranti dengan rekaan skrin ‘rongak’ pada harga rendah. Buat masa ini, tiada maklumat rasmi vivo Y85 akan ke pasaran tempatan.