
Huawei Nova 3e Diperkenalkan – Sokong Paparan Skrin ‘Rongak’ & Penggambaran Dwi Kamera

Huawei telah memperkenalkan Huawei nova 3e di China secara rasminya. Huawei nova 3e menampilkan paparan skrin rongak berukuran 5.84 inci beresolusi 2280×1080 piksel dengan rekaan kerangka berasaskan kaca.
Dikuasakan oleh pemproses Kirin 659 Octa Core, GPU Mali-T830 MP3 serta RAM 4GB dan storan 64GB, Nova 3e dioperasikan oleh Android 8.0 Oreo bersama paparan antaramuka EMUI 8.0.

Sepertimana trend telefon pintar hari ini, telefon pintar ini turut menggunakan dwi kamera utama 16MP + 2MP f/2.2, manakala kamera hadapan pula menggunakan sensor 16 Megapiksel f/2.0. Pada panel belakang turut kelihatan sensor pengimbas cap jari dan bateri berkapasiti 3000mAh.
Walaupun hadir dalam kelas pertengahan, nova 3e dilihat hadir dengan fungsi kelas atasan seperti pengimbas wajah, ciri-ciri membuat rakaman jelas pada keadaan kurang pencahayaan dan juga sokongan pengecasan pantas (9V/2A).

Huawei akan memasarkan Huawei nova 3e di pasaran China terlebih dahulu bermula minggu hadapan dengan harga bermula CNY1999 (kira-kira RM1,244). Buat masa sekarang tidak diketahui sama ada peranti ini akan memasuki pasaran tempatan dengan nama Huawei nova 3e ataupun P20 Lite.

