Tan Chin En dari Universiti Teknologi MARA muncul sebagai juara dalam pertandingan anjuran Digi, Clash Royale: The Crown Wars 2016 lantas membawa pulang wang tunai RM 6,000. Pertandingan Clash Royale tersebut merupakan yang pertama sekali dianjurkan di negara ini dan menemukan 26 peserta dari 18 universiti seluruh negara dalam merebut hadiah keseluruhan bernilai RM 10,000.
Sebelum menjadi 26 peserta fasa akhir, para pemain perlu bertanding dahulu di dalam pusingan yang dianjurkan di universiti masing-masing bagi melayakkan diri mereka ke peringkat seterusnya. Digi menganjurkan program seumpama ini bagi memastikan mereka kekal dekat dengan pengguna, dan acara yang menyeronokkan adalah medium perhubungan terbaik untuk mendekati pengguna mereka.
Berada di sebelah kanan Tan Chin En adalah Yong Chiang Pin (tempat ke-2) yang membawa pulang RM 3,000 dan Shahrul Hisham (tempat ke-3) yang dihadiahkan RM 1,000. Diharapkan Digi akan meluaskan lagi skop penyertaan pertandingan seumpama ini pada masa hadapan.