
[Tertiris] Nokia 7 Plus Dengan Dwi Kamera Zeiss Dan Cip Snapdragon 660

HMD Global yang bakal menyertai Kongres Mudah Alih Sedunia 2018 (MWC) dikatakan akan membuat beberapa pengumuman menarik. Kemungkinan mereka akan memperkenalkan model telefon pintar terbaharu untuk tahun 2018 iaitu Nokia 7 Plus. Apa yang tertiris baru-baru ini ialah berkenaan rekaan dan spesifikasi peranti tersebut.
Sebelum ini versi asas Nokia 7 hanya dipasarkan di negara China sahaja. Jadi untuk versi naik taraf kali ini, Nokia 7 Plus dikatakan akan dipasarkan secara global untuk memberi saingan kepada pengeluar-pengeluar lain dalam kategori peranti kelas pertengahan.
Telefon pintar Android ini akan hadir dengan perkakasan menyerupai telefon kelas atasan iaitu kehadiran dwi kamera berteknologi Zeiss menggunakan sensor 12 MP dan 13 MP. Selain itu, turut dimuatkan ialah cip dalaman Snapdragon 660 dan memori RAM 4GB serta storan seluas 64GB.

Ketirisan spesifikasi ini juga menampakkan Nokia 7 Plus akan dilengkapi kamera depan 16 Megapiksel menerusi teknologi Tetracell. Skrin sebesar 6-inci juga akan dipadankan pada kerangka peranti ini selain menggunakan panel Corning Gorilla Glass. Sistem dalaman pula dioperasikan oleh Android 8.0 Oreo disamping bicu pengecasan pantas USB-C.
Buat masa ini, maklumat ketirisan hanya boleh didapati daripada satu sumber di China. Ia mungkin tidak begitu tepat semasa pelancarannya kelak bagaimanapun kita tunggu sahaja sehingga maklumat selanjutnya.

